Wednesday 29 August 2012

PEMIKIRAN


DISEDIAKAN OLEH :
JUNAIDAH BINTI ABDUL JALEL
DPLI MT/PM
IPG KAMPUS TUANKU BAINUN




1.0 PENGENALAN
            Akal ialah pemberian yang paling berharga kepada manusia. Perkara yang membezakan manusia dengan haiwan-hiwan lain ialah akal. Daripada akal, manusia mula berfikir. Proses berfikir dan cara berfikir membezakan seseorang individu dengan individu yang lain. Gaya berfikir seseorang akan menentukan personaliti dan corak kehidupannya.
            Menurut V.R. Ruggiero (1984), pemikiran boleh ditakrifkan sebagai satu operasi mental yang digunakan untuk menyelesaikan masalah dan kemudian membuat keputusan atau rumusan serta memenuhi keinginan untuk mendapatkan sesuatu jawapan. Manakala Beyer (1991) pula menyatakan bahawa pemikiran adalah operasi mental yang menggunakan maklumat yang tersimpan dalam ingatan bagi membuat adaptasi dan asimilasi, begitu juga untuk merumus atau mencari makna sesuatu konsep. Pemikiran juga adalah satu proses mental dalaman yang menggunakan data atau maklumat sebagai input, maklumat tersebut dipadukan dengan bahan yang pernah diperlajari untuk menghasilkan ilmu pengetahuan. Ia berlaku setiap masa termasuk semasa makan, tidur atau melakukan sebarang aktiviti yang tidak berkaitan.      
            Menurut Edward De Bono menyatakan bahawa pemikiran adalah perkara yang utama boleh dilakukan oleh mana-mana sistem pendidikan adalah untuk mengajar pemikiran konstruktif. Beliau juga berkata yang pemikiran tradisional adalah terlalu perlahan dalam menghasilkan idea-idea baru. Guru-guru perlu menanam kemahiran berfikir secara operasi yang mengajar murid-murid cara-cara untuk bertindak dan bukan sahaja memperolehi pengetahuan. Mengikut Bono, murid yang mempunyai kemahiran berfikir operasi adalah mereka yang dapat menyumbang kepada masyarakat. Penyelasaian masalah, perancangan, pengintegrasian maklumat dan penganalisisan merupakan cabang-cabang pemikiran yang utama. Pemikiran adalah satu proses untuk memahami bagaimana otak kanan berfikir secara kreatif dan otak kiri berfikir secara kritikal.
            Oleh itu, pemikiran adalah satu konsep yang sangat penting kerana membolehkan individu boleh mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang sikap dan perhubungan manusia dalam persekitaran sosial. Ia juga dapat memudahkan proses pengesanan penyakit mental dan menyediakan penyelesaiannya. Oleh yang demikian, berfikir secara bijak merupakan konsep yang penting dan merupakan satu alat pembelajaran yang berguna untuk murid-murid dan guru-guru.

2.0 KONSEP PEMIKIRAN
            Pemikiran merupakan proses membina ilmu dan kefahaman yang melibatkan aktiviti mental dalam otak manusia. Semasa berfikir, otak manusia akan bertindak dengan usaha memahami rangsangan luar yang diterima melalui deria, membentuk konsep, membuat tafsiran dan tindak balas berdasarkan pengalaman  yang sedia ada dalam ingatan.
            Terdapat banyak teori pemikiran yang dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi, terutamanya sejak kurun ke-20. Teori dan definisi mereka adalah dihuraikan secara ringkas adalah seperti yang berikut :
·         Dewey (1910) menghuraikan pemikiran sebagai aktiviti mental dalam sesuatu proses untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi
·         Guilford (1967) berpendapat pemikiran merupakan sesuatu jenis kebolehan dan keupayaan. Ia mempunyai pelbagai kemahiran berfikir
·         Teori Roger Sperry (1970) menghuraikan otak manusia yang menggunakan bahagian kirinya berfikir secara kritis dan bahagian kanannya berfikir secara kreatif
·         Mayor (1977) mentafsirkan pemikiran sebagai pengelolaan operasi-operasi mental dalam sistem kognitif dan digunakan untuk menyelesaikan masalah
·         Davidoff (1979) melihat pemikiran sebagai penggunaan simbol, gambar, perkataan, pengalaman dan konsep. Melalui pemikiran, rangsangan luar yang diterima oleh deria akan ditafsirkan dengan penggunaan perkataan atau simbol untuk membentuk konsep terhadap rangsangan tersebut.
·         Vincent Rejan Ruggiero (1984) memberi definisi pemikiran sebagai aktiviti mental yang digunakan untuk membentuk atau menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat keputusan atau memuaskan sesuatu hasrat memperoleh sesuatu jawapan
·         John Barell (1991) menghuraikan pemikiran sebagai proses mencari makna serta usaha untuk mencapai keputusan yang wajar
·         Beyer (1991) memberi erti pemikiran adalah sebagai operasi mental terhadap input deria dengan menggunakan maklumat dalam ingatan untuk menaakul, mengadaptasi dan mengasimiliasinya dengan tujuan membentuk atau mencari sesuatu makna
·         William W. Wilen (1994) pula mentafsirkan pemikiran sebagai proses dalaman yang sangat pantas sama ada secara sedar atau tidak sedar terhadap rangsangan luar yang diterima melalui deria. Proses dalaman ini, data baru akan disimpan melalui cara pemadanan, perbandingan dan klasifikasi dengan maklumat atau pengetahuan yang sedia ada dalam ingatan.
            Tujuan utama proses pemikiran adalah untuk membina pengetahuan dan pemahaman dan ia melibatkan aktiviti mental murid-murid. Proses pemikiran dan usaha oleh otak adalah untuk mencari rasional. Oleh itu, ia adalah suatu aktiviti mental yang sangat penting dalam proses penyelesaian masalah. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai kebolehan otak dalam pelbagai kemahiran berfikir. Semasa berfikir, otak akan bertindak sebagai usaha untuk memahami rangsangan-rangsangan luar yang diterima oleh deria. Setelah itu, otak menukar rangsangan-rangsangan tersebut ke dalam bentuk konsep, membuat tafsiran dan bertindak balas berdasarkan pengalaman-pengalaman yang sedia ada dalam ingatan.
            Pemikiran adalah konsep yang merangkumi beberapa ciri iaitu seperti :
      i.        Ia berlaku di dalam otak seseorang individu
    ii.        Ia berlaku kerana terdapatnya rangsangan apabila individu berasa curiga atau berhadapan dengan sesuatu masalah
   iii.        Ia berlaku seperti sesuatu proses yang mengikut prosedur yang spesifik
   iv.        Ia adalah suatu aktiviti kognitif yang bertindak atas rangsangan yang diterima oleh lima pancaindera dan ingatan kembali daripada pengalaman
    v.        Ia mentafsirkan pelbagai rangsangan dengan membuat penilaian, keputusan dan penyelesaian sesuatu masalah.

3.0 JENIS-JENIS PEMIKIRAN

            Gaya berfikir menentukan sesuatu keputusan dan tindakan seseorang. Manusia mempunyai gaya berfikir masing-masing. Terdapat beberapa jenis pemikiran iaitu pemikiran jenis mandatar atau lateral, menegak, kritis, kreatif, divergen, konvergen, reka cipta dan celik akal.

            3.1 Pemikiran Mendatar / Lateral

            Pemikiran mendatar atau lateral dikenali sebagai pemikiran analitikal dan diperkenalkan oleh Dr. Edward De Bono. Pemikiran mendatar ini melibatkan proses pemikiran di luar kebiasaan apabila sesuatu masalah diselesaikan melalui sumber yang berlainan atau yang tidak berkaitan. Pemikiran ini adalah untuk melatih minda mempertimbangkan pelbagai aspek yang berbeza dan tidak berkaitan dengan sesuatu masalah bagi memperoleh penyelesaian yang unik yang tidak akan tercapai dengan hanya mengambil kira aspek-aspek biasa dan konvensional.
            Kepentingan pemikiran mendatar ini adalah sesuatu masalah yang perlu dilihat daripada perspektif yang berlainan supaya ia mudah untuk diselesaikan. De Bono manyatakan bahawa terdapat empat faktor yang sangat penting dalam persekitaran mendatar ini iaitu :
      i.        Mengenalpasti idea-idea dominan utama dalam masalah yang dihadapi
    ii.        Melihat sesuatu masalah daripada sudut-sudut yang berlainan
   iii.        Melonggarkan cara-cara pemikiran yang terkawal
   iv.        Menggunakan idea-idea yang diberikan oleh orang lain.
            Tujuan menggunakan teknik pemikiran mendatar ini adalah untuk merangsang pemikiran kreatif khasnya dalam aktiviti yang melibatkan sumbangsaran di mana murid-murid dalam setiap kumpulan perlu berhubung antara satu sama lain. Terdapat lima jenis teknik pemikiran mendatar atau lateral. Diantaranya adalah :
1)    Perkaitan bebas iaitu berlaku dalam proses sumbangsaran di mana terdapatnya banyak idea bebas untuk murid membentuk kaitan dengan konsep-konsep yang dikaji
2)    Kaedah “Reversal” adalah untuk menilai sesuatu keadaan yang biasa secara terbalik. Murid tidak perlu mencari jawapan yang betul tetapi penyusunan maklumat akan menggalakkan mereka untuk melihat cara-cara yang berbeza untuk menilai sesuatu situasi
3)    Kaedah objek Fokal yang melibatkan murid-murid memilih sesuatu objek secara rawak dan kaitkan objek tersebut dengan masalah yang dikaji
4)    Kaedah cabaran iaitu murid-murid mencabar cara-cara atau perkara-perkara yang dilakukan dengan keadaan yang sedia ada. Ini dilakukan bukan untuk menunjukkan kedaan yang sedia ada itu adalah salah tetapi untuk menggalakkan konsep “pemikiran di luar kotak”
5)    Menganalisa masalah di mana proses ini memecahkan situasi atau masalah kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil atau dikenali “fractions”. Seorang murid dapat menyusun semula keadaan dengan meletakkan “fractions” dalam cara-cara yang baru. Seseorang individu perlu melihat cara-cara yang berbeza untuk menyusun sesuatu pola dan menjana alternetif-alternatif berbeza kepada sesuatu masalah.
            Melalui proses pemikiran mendatar ini guru-guru perlu menggalakkan murid-murid untuk menyelesaikan sesuatu masalah melalui pelbagai perspektif dengan menggunakan prosedur seperti untuk memecahkan  sesuatu masalah kepada bahagian-bahagian yang kecil dan meletakkannya semula untuk melihat penyelesaian yang unik dan berbeza serta untuk melihat alternatif-alternatif yang berbeza berbanding dengan cara-cara tradisional dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
            Terdapat juga beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk merangsang pemikiran lateral atau mendatar iaitu dengan menggunakan kaedah seperti senarai rujuk, permainan dan latihan serta matafor dan analogi iaitu persamaan dan perbandingan. Dengan itu, ia akan menggalakkan murid berfikir secara lebih kreatif.
            3.2 Pemikiran Menegak

            Pemikiran menegak dikenali sebagai “vertical thinking”. Menurut Dr. Edward De Bono, pemikiran ini menggunakan proses-proses akal yang tradisional untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kalangan yang berpemikiran menegak akan memfokuskan kepada satu idea atau penyelesaian sebagai jawapan yang betul serta membuat penerokaan ke atasnya secara lebih mendalam dan terperinci. Kalangan yang berpemikiran menegak boleh mempertimbangkan perkaitan antara sesuatu situasi atau idea yang boleh membantu mereka memahami sesuatu idea dengan baik lalu menggunakan idea tersebut itu dalam situasi tertentu secara berkesan. Sesuatu masalah dapat diselesaikan secara baik dan berkesan. Di antara ciri-ciri menegak adalah seperti berikut :
1)    Murid-murid mesti betul dan tepat dalam setiap langkah
2)    Dalam kategori pemikiran menegak, klasifikasi dan label adalah tetap
3)    Seseorang itu mesti betul pada setiap masa
4)    Pemikiran menegak mengikut urutan yang spesifik
5)    Pemikiran menegak lebih menumpukan kepada apa yang relevan
            Justeru itu, dapat dilihat bahawa terdapat beberapa perbezaan di antara pemikiran menegak dan pemikiran lateral seperti pada jadual yang berikut :

PEMIKIRAN MENEGAK
PEMIKIRAN LATERAL
·         Mencari pendekatan yang betul
·         Mencari sebanyak pendekatan yang mungkin
·         Ketepatan
·         Kekayaan
·         Dilanjutkan jika terdapat arah
·         Menjana arah baru
·         Mengikut urutan spesifik
·         Fleksibel
·         Mesti betul pada setiap langkah
·         Tidak perlu betul pada setiap langkah
·         Meningalkan yang tidak relevan
·         Menerima perubahan
·         Kategori/label yang tetap
·         Label mungkin berubah-ubah
·         Meninjau alternatif-alternatif yang mungkin
·         Meninjau alternatif-alternatif yang tidak dijangka
·         Adalah proses finit/tetap
·         Adalah proses kemungkinan
·         Adalah analitikal
·         Adalah provokatif
Jadual 1 : Perbezaan antara pemikiran menegak dengan lateral

            3.3 Pemikiran Kritis

            Pemikiran kritis ialah suatu penerokaan yang bertujuan untuk mengkaji situasi, fenomena, persoalan atau masalah untuk menghasilkan rumusan yang merangkumi semua maklumat yang ada. Dengan kata lain, pemikiran kritis merupakan semua kemahiran intelektual untuk menilai dan mempertingkatkan sesuatu situasi. Bagi kalangan yang berpemikiran kritis, penerokaan yang berlaku sangat berkaitan dengan pengalaman yang dialami sama ada melalui bahan bacaan, pemerhatian, mendengar dan melihat atau menempuhnya sendiri.
            Pemikiran kritis menentukan sesuatu atau mempercayai sesuatu. Pemikiran kritis juga mementingkan aspek penilaian yang munasabah. Initipatinya, pemikiran kritis merupakan cara yang berdisiplin yang digunakan oleh seseorang untuk mengesahkan sesuatu.
            Menurut Nosch (2001) terdapat tiga bahagian dalam pemikiran secara kritis iaitu cara bertanya soalan, cuba menjawab soalan dengan memikirkan tentang jawapan dan percaya penaakulan seseorang. Murid-murid yang telah memperolehi kemahiran pemikiran kritis akan menunjukkan ciri-ciri seperti :
      I.        Membina kemahiran pemikiran dan penaakulan yang diperlukan untuk menilai maklumat dan menyelesaikan masalah
    II.        Menunjukkan pemikiran kritis dan analitikal melalui cabaran aktif dan penglibatan dalam kursus sepanjang kurikulum
   III.        Boleh menganalisa hujah dan menjana tafsiran yang menunjukkan pola kreatif yang meyakinkan
          
           Terdapat beberapa cara guru boleh menerapkan kemahiran pemikiran kritis di kalangan murid-murid adalah seperti yang berikut :
a)    Mengunakan strategi berpusatkan murid. Ini akan membolehkan murid-murid membuat penilaian dan mencari penyelesaian yang optimal
b)    Mengurus fakta secara sistematik dan tersusun
c)    Mengarah soalan-soalan yang sesuai dengan tahap kognitif murid supaya murid menilai semua fakta dengan tujuan menyelesaikan masalah
d)    Memberi soalan yang lebih sukar kepada murid yang lebih bijak untuk menggalakkan tahap pemikiran kritikal yang lebih tinggi.
           Oleh yang demikian, murid perlu mempelajari kemahiran pemikiran kritis melalui kombinasi metodologi arahan terus, demonstrasi, menghafal dan teknik menyelesaikan masalah. Dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang kritis, seseorang individu perlu menjana idea-idea yang bernas dan kreatif dengan membuat analisa secara kritis dan kritikal. Oleh itu, pemikir secara kritis mesti menjadi pemikir kreatif yang dapat menjana pelbagai penyelesaian yang terbaik kepada sesuatu masalah atau konflik yang terlibat.

           3.4 Pemikiran Kreatif

           Pemikiran kreatif ialah satu jenis pemikiran di mana seseorang itu dapat memikirkan pelbagai idea baru yang belum difikirkan oleh orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seorang guru yang cekap harus menjanakan pemikiran kreatif di kalangan murid-muridnya dengan memberikan peneguhan secara positif dalam bentuk ganjaran dan hadiah apabila muridnya dapat melahirkan idea-idea yang bernas dan kreatif serta unik.
           Beberapa orang pengkaji seperti Cropley (1967) dan Torrance (1962 dan 1972) menyatakan bahawa kanak-kanak yang kreatif biasanya menimbulkan gangguan dalam bilik darjah kerana kalangan ini kurang menumpukan perhatian terhadap pembelajaran guru.



           Ciri-ciri pemikiran kreatif adalah seperti yang berikut :
1.    Sengaja menghasilkan idea baru, konsep baru serta fikiran yang baru
2.    Mengutamakan cara-cara yang berbeza untuk melihat sesuatu
3.    Melafazkan fikiran dengan cara-cara yang unik dan berbeza untuk melihat sesuatu yang sedang difikirkan
4.    Tidak berminat untuk mengikuti idea-idea yang sedia ada dalam persekitaran
5.    Memikirkan cara-cara baru untuk mencadangkan penyelesaian pada satu permasalahan yang wujud
           Seorang guru perlu menjalankan lebih banyak aktiviti dan strategi pengajaran dan pembelajaran seperti inkuiri penemuan dan kaedah penyelesaian masalah supaya murid dapat berpeluang untuk menjanakan idea-idea yang kreatif. Selain daripada itu, guru juga perlu menggalakkan pemikiran kreatif adalah dengan memperbanyakkan soalan-soalan terbuka dalam bilik darjah dan menerima pelbagai jawapan sebagai jawapan yang betul asalkan ia logik dan munsabah.
           Di samping itu juga, guru harus memperbanyakkan aktiviti yang menjurus kepada aktiviti-aktiviti sumbangsaran, perbahasan dan debat supaya murid dapat bermusyarah dan melibatkan diri dalam kelas perbincangan secara intelektual. Oleh itu, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam pembelajaran dan pengajaran supaya mewujudkan murid-murid mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif.

           3.5 Pemikiran Divergen

           Menurut kajian ahli-ahli psikologi, pemikiran divergen boleh diertikan sebagai pemikiran kreatif. Ini adalah kerana pemikiran divergen sering kali digunakan untuk menghasilkan kreativiti. Pemikiran divergen memerlukan seseorang itu berfikir secara kreatif terhadap masalah yang unik dan mempunyai jawapan yang banyak dan pelbagai. Selain daripada itu, pemikiran divergen ini dikenali sebagai pemikiran bercapah. Tujuan utamanya adalah untuk murid menjanakan seberapa banyak idea mengenai satu topik dalam satu masa yang telah ditetapkan. Melalui pemikiran ini juga melibatkan kemahiran guru dalam membahagikan sebuah topik kepada unit-unit yang kecil supaya murid dapat menganalisis sesuatu topik dengan lebih mendalam.
           Idea-idea yang telah dibahagikan kepada unit-unit kecil disusun semula dalam satu struktur yang bersistematik dengan menggunakan satu lagi jenis pemikiran iaitu pemikiran konvergen. Pemikiran divergen harus berlaku dalam satu persekitaran yang spontan dan murid harus diberi peluang untuk mengeluarkan idea-idea tanpa apa-apa sekatan. Menurut Guilford (1959) terdapat empat ciri pemikiran divergen iaitu kepelbagaian yang menunjukkan muird berupaya untuk menghasilkan pelbagai idea untuk sesuatu situasi. Selain daipada itu, fleksibel iaitu murid menggunakan perspketif yang berbeza untuk menghasilkan pelbagai cara penyelesaian masalah. Di samping itu juga, keaslian iaitu murid berupaya untuk memikirkan idea-idea baharu yang berguna dan praktikal serta ciri seterusnya adalah terperinci iaitu murid berupaya untuk menjelaskan sesuatu secara terperinci.
           Melalui proses pemikiran divergen ini individu yang berkenaan tidak lagi dikongkong oleh pengetahuan atau pengalaman sedia ada tetapi berfikir secara kreatif untuk mencari cara atau idea baru yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang mempunyai pelbagai jawapan. Biasanya, pemikiran divergen menggunakan unsur-unsur intuisi dan celik akal supaya masalah terbuka dapat diselesaikan dengan pelbagai cara yang unik dan luar biasa.

           3.6 Pemikiran Konvergen

           Mengikut Free Dictionary, pemikiran konvergen boleh didefinisikan sebagai pemikiran yang membawa maklumat yang bertumpu kepada penyelesaian sesuatu masalah. Pemikiran ini dikenali sebagai pemikiran bertumpu atau berpandu. Pemikiran konvergen terdiri daripada satu proses yang menggabungkan idea-idea yang berlainan tema yang tertentu dalam satu struktur yang tersusun dan yang boleh difahami. Selain daripada itu, mengikut Guilford (1967) menyatakan bahawa pemikiran konvergen adalah satu jenis daya berfikir. Beliau melihat pemikiran konvergen sebagai daya berfikir yang membolehkan seseorang itu menggunakan pengetahua sedia ada denagn integrasi logic dan susunan demi mengahsilkan satu idea atau jawapan yang lazim. Penyelesaian masalah dilakukan berdasarkan kepada pengetahuan, pengalaman, peraturan, prinsip, teori, hukum atau rumus yang sedia ada.
           Proses pemikiran yang terlibat dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan adalah menerangkan, menyatakan, membandingkan serta membezakan. Guru harus menggalakkan pemikiran konvergen kerana melalui pemikiran ini murid perlu membuat pilihan daripada banyak jawapan atau alternatif-alternatif yang berbeza-beza.
           Murid yang bijak akan mempraktikan pemikiran jenis ini adalah murid yang dapat mengintegrasikan maklumat daripada pelbagai sumber untuk membentuk satu penyelesaian yang betul. Oleh itu, pemikiran konvergen sangat sesuai diaplikasikan dalam mata pelajaran Sains. Selain itu pemikiran ini banyak juga diuji dalam peperiksaan-peperiksaan awam.

           3.7 Pemikiran Reka Cipta

           Pemikiran reka cipta didefinisikan sebagai pemikiran artistik di mana individu boleh menunjukkan kemahiran dan bakat di dalam pemikiran ini. Individu yang mempunyai kemahiran pemikiran reka cipta yang tinggi menunjukkan sifat-sifat seperti kemahiran motor yang tinggi, kemahiran yang tinggi dalam berinteraksi dengan orang lain dan boleh mencipta sesuatu yang unik dalam jangka masa yang pendek.
           Pemikiran ini sangat penting dalam mata pelajaran seperti Seni, Pengukiran, Kemahiran Hidup, Pengajian Tempatan dan Sains di mana murid mesti mengkoordinasikan pergerakan tangan mereka dengan menggunakan kemahiran motor mereka. Guru boleh memanipulasikan kemahiran motor ‘manipilatives’ murid-murid untuk mempertingkatkan kemahiran reka cipta secara  kreatif mereka. Proses ‘manipulatives’ akan melibatkan koordinasi mata dengan apa yang dibuat oleh kemahiran tangan. Ini akan merangsang perkembangan motor halus murid kerana ia memerlukan kemahiran pengunaan tangan yang secara terkawal dan otot jari.
           Alat permaian yang boleh menguatkan kemahiran motor halus dan kasar murid-murid iaitu seperti teka-teki dan ‘play dough’. Oleh yang demikian, guru-guru hendaklah memasukkan beberapa strategi dan aktivit-aktiviti yang boleh mempertingkatkan kemahiran koordinasi otak dan motor murid-murid. Satu daripada masalah yang utama yang dihadapi oleh guru adalah mengajar murid-murid yang mempunyai kemahiran motor halus dan kasar yang berbeza-beza antara satu sama lain di dalam bilik darjah.

           3.8 Pemikiran Celik Akal

           Pemikiran celik akal didefinisikan sebagai pemikiran yang melibatkan gerak hati dan kebijaksanaan. Pemikiran celik akal ini juga merujuk kepada kebolehan mental seseorang individu untuk menggunakan celik akal yang berbentuk abstrak untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang sedia ada. Pemikiran ini juga berhubungkait dengan memperolehi penyelesaian secara tiba-tiba atau secara spontan dalam menyelesaikan sesuatu masalah seperti yang telah dikemukakan oleh Teori Kohler. Oleh itu, pengalaman ini dikenali sebagai pengalaman “Aha”. Ini adalah kerana ia berhubung-kait kepada situasi di mana individu-individu tersebut untuk mendapatkan sesuatu penyelesaian kepada masalah secara tiba-tiba atau spontan dan dalam keadaan yang tidak terancang.
           Melalui proses pemikiran celik akal, murid-murid akan mengalami pengalaman baru dan penyelesaian kepada masalah dan juga mendapat pengertian yang mendalam. Mengikut pengertian ini, apa yang tidak diketahui dan difahami pada masa yang lampau akan menjadi lebih jelas dan mudah kepada seseorang individu tersebut. Pengalaman lepas dan kesediaan murid-murid untuk belajar akan membantu mereka untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka secara cepat dan lebih efisien.
           Strategi yang dicipta dari pemikiran jenis celik akal ini adalah berbeza daripada proses pemikiran yang normal. Guru patut menggunakan rangsangan yang sesuai untuk menggalakan pemikiran celik akal di kalangan murid-murid mereka dengan menggunakan alat bantu mengajar seperti kotak teka-teki, radas matematik dan sebagainya. Guru juga mesti memastikan memberi penjelasan yang sangat jelas tentang proses-proses dan kaedah-kaedah yang terlibat sebelum memberi arahan kepada murid-murid untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pemikiran celik akal. Oleh itu, guru perlu memikirkan cara-cara yang berbeza untuk menyemai pelbagai kemahiran berfikir di kalangan murid-murid.

4.0 TEKNIK MENINGKATKAN KEMAHIRAN BERFIKIR

           Salah satu matlamat yang penting dalam pendidikan adalah membantu murid-murid dengan menggabungkan pemikiran kreatif untuk menjanakan idea-idea dan pemikiran kritikal untuk menilai idea dengan lebih produktif. Kedua-dua jenis pemikiran ini adalah sangat penting bagi membentuk seorang pemikir yang seimbang.
           Menurut Dr. Edward de Bono dalam CoRT Thinking Programme, kemahiran berfikir seseorang murid boleh dipertingkatkan melalui teknik-teknik seperti berikut :
         i.        Mengadakan perbincangan di antara murid-murid di dalam sesuatu kumpulan kecil dengan mempertimbangkan sesuatu idea atau isu semasa dari segi kebaikan dan kelemahan
        ii.        Menggunakan teknik penyelesaian masalah yang sesuai untuk mencari sesuatu alternatif, kemungkinan atau pilihan untuk membuktikan hipotesis atau mendapat sesuatu rumusan
      iii.        Membimbing murid supaya mempertimbangkan semua faktor dalam proses pilihan atau semasa membuat keputusan
      iv.        Membimbing murid meneliti segala akibat yang mungkin berlaku dalam jangka masa pendek serta jangka masa panjang
        v.        Membimbing murid meninjau sesuatu idea atau pendapat dari sudut pandangan orang lain
      vi.        Membimbing murid supaya memahami dan menentukan tujuan dan objektif tentang sesuatu perkara dalam kajian dengan cara yang tepat.
           Langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak sekolah adalah untuk menyemai pengajaran kemahiran berfikir dalam konteks kurikulum dan bukan kurikulum adalah seperti yang berikut:



·         Pengajaran langsung pemikiran dalam konteks bukan kurikular
-       Dalam pengajaran langsung murid-murid belajar melakukan satu siri urutan tugas dengan penjelasan daripada guru. Oleh yang demikian, pengajaran langsung boleh digunakan untuk pengajaran pada tahap tinggi seperti penaakulan deduktif dan induktif, sejarah, analisa sastera, kimia, sains, penaakulan undang-undang dan sebagainya.

·         Penggunaan kaedah-kaedah yang mengalakkan pemikiran dalam konteks kurikular
-       Guru perlu menyusun semula kaedah pengajaran dan hasil pembelajaran untuk memasukkan kemahiran berfikir secara spesifik yang mereka ingin terapkan setiap hari dalam konteks kurikular

·         Penyusunan pelajaran dengan objektif kemahiran yang spesifik
-       Guru perlu menyusun semula pelajaran dengan objektif kemahiran berfikir yang spesifik semasa melakukan sesuatu kurikulum. Mereka juga perlu mengenal tugas-tugas pemikiran yang sebenar di mana murid-murid dijangka akan buat.
          
PENYEMAIAN KEMAHIRAN
BERFIKIR
KAEDAH MENGGALAK KEMAHIRAN BERFIKIR
-       Menyemai kemahiran berfikir kreatif
-       Menjana banyak pilihan divergen bagi sesuatu situasi penyelesaian masalah
-       Menyemai kemahiran berfikir mata-kognisi
-       Memantau, menilai dan memandu pemikiran sendiri
-       Menyemai pemikiran kritikal atau kemahiran berfikir secara konvergen
-       Menganalisis komponen dan hubungan dalam sesuatu sistem
-       Menyemai pemikiran divergen
-       Membanding dan membezakan pilihan-pilihan
-       Menyemai kemahiran berfikir divergen dan penaakulan
-       Membuat inferens atau kesimpulan dan pentafsiran dari data
Jadual 2 : Kaedah-kaedah untuk menyemai kemahiran berfikir     
           Oleh itu, guru-guru perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu murid-murid menjadi pemikir yang efektif walaupun mereka memiliki gaya-gaya pembelajaran yang berlainan.

5.0 KESIMPULAN


           Kemahiran berfkir adalah berkait rapat dengan kemahiran belajar. Semasa kita belajar, kita menggunakan kemahiran berfikir untuk memahami atau mengingati fakta dan ilmu pengetahuan yang dikaji. Selain itu, kita gunakan kemahiran berfikir untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi semasa proses pembelajaran. Bagi masalah yang kompleks dan rumit, kita perlu gunakan kemahiran berfikir secara kritis dan bagi masalah yang bersaintifik atau menjana dan menghasilkan idea baru, kita juga perlu menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif.
           Terdapat beberapa jenis kemahiran berfikir iaitu pemikiran secara mendatar atau lateral, pemikiran menegak, pemikiran kritis, pemikiran kreatif, pemikiran divergen, pemikiran konvergen, pemikiran reka cipta dan pemikiran celik akal. Setiap guru perlu menggunakan strategi pembelajaran yang sesuai dan menggunakan alat bantu mengajar yang efektif agar pengajaran dan pembelajaran lebih kreatif dan menggalakkan murid-murid berfikir secara kreatif dan lebih kritis.
           Oleh itu, guru-guru perlu mengenal jenis-jenis pemikiran yang menekankan kebolehan murid-murid dalam setiap pelajaran dan perlu menyemai kemahiran berfikir yang asas seterusnya kemahiran berfikir pada tahap yang tinggi dalam aktiviti kelas seperti membuat keputusan dan metakognitif iaitu menekankan tentang kemahiran berfikir. Di samping itu, guru perlu tahu apa kaedah yang sesuai untuk menggalakkan kemahran berfikir di kalangan murid-murid. Secara kesimpulannya, kemahiran berfikir adalah sangat penting dalam menggalakkan murdi-murid berfikir secara lebih kreatif dan lebih kritis.

No comments:

Post a Comment