Monday 27 August 2012

TINGKAH LAKU BERMASALAH (Bahagian 1)



Disediakan oleh:  Halimah Binti Othman
DPLI-SR Matematik/Pengajian Melayu
IPGK Tuanku Bainun 
Ambilan Disember 2011

1.0  PENGENALAN
Kebelakangan ini tingkah laku bermasalah menjadi topik perbincangan  di kalangan masyarakat umum. Gejala tingkah laku bermasalah boleh ini menyebabkan ketidakseimbangan di antara emosi dan aktiviti kehidupan seharian individu. Tingkah laku bermasalah juga memberi kesan yang buruk dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Umumnya , sekolah rendah merupakan tapak utama asas pendidikan. Kanak-kanak dibentuk mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Guru memainkan peranan utama membentuk keperibadian tingkah laku murid-murid semasa berada di sekolah. Selain dari tanggungjawab ibu bapa, guru adalah orang yang penting dalam menghasilkan insan yang sempurna dalam pendidikan.

Dengan bertambahnya bilangan anggota masyarakat yang berpendidikan moden, sikap yang tidak mementingkan kanak-kanak ini telah beransur berubah. Kanak-kanak pada hari ini telah diberikan perhatian serius secara keseluruhan dari segi emosi, jasmani dan rohani. Ibu bapa sudah mula pandai melayan pertanyaan anak-anak, membawa mereka makan bersama, berbincang serta memberi peluang kepada anak-anak memberi pendapat dan pandangan dan memberi mereka kebebasan memilih atau membuat keputusan asalkan tidak memudaratkan diri dan keluarga. Perkembangan sikap ini telah memberikan kesan positif dalam dunia kehidupan kanak-kanak supaya ia dapat menghasilkan satu generasi yang lebih aktif, berani dan mahu tampil ke hadapan untuk bertanding lebih gigih dalam kehidupan masyarakat.

2.0 KONSEP TINGKAH LAKU BERMASALAH
Tingkah laku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat, tidak kira di dalam kehidupan bermasyarakat atau termasuk sekolah. Secara konsepnya, ia bertentangan dengan tingkah laku yang lazimnya dianggap sebagai persepsi, perasaan, dan perlakuan yang pada kebiasaanya dialami oleh banyak orang dalam sesebuah masyarakat sama ada di kawasan pedalaman mahupun bandar. Berdasarkan dari kajian dan pemerhatian oleh pakar psikologi, didapati tingkah laku bermasalah ini timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini menyababkan berlakunya gangguan emosi dan aktiviti kehidupan individu serta seterusnya mengganggu kestabilan dan keharmonian persekitarannya.

Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang yang boleh merosakkan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap masalah murid sekolah ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid bermasalah iaitu, positif dan negatif. Tingkah laku bermasalah positif yang dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah negatif pula ialah perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan.

            Ahli psikologi mengatakan yang peranan ibu bapa merupakan satu faktor yang dapat meningkatkan ancaman tingkah laku bermasalah di antara para remaja (Braumind, 1991; Kazdin, 1987; Patterson, 1982). Banyak lagi kajian rentas telah mendapati bahawa pengurangan dalam sokongan emosi daripada ibu bapa dan pengawalan disipilin yang terlalu ketat adalah saling berkaitan dengan tingkah laku bermasalah dalam diri remaja (Barnes, 1990; Baumrind, 1991; Lamborn, Mounts, Steinberg, & Dornbusch, 1991). Oleh yang demikian, guru-guru perlu menggunakan teori behavioris di dalam bilik darjah untuk membawa perubahan tingkah laku yang positif di dalam diri murid-murid. Rasional untuk membetulkan tingkah laku bermasalah melalui teknik  modifikasi tingkah laku ialah kebanyakan tingkah laku buruk boleh dipelajari dan dilupai semula.

3.0 JENIS-JENIS TINGKAH LAKU BERMASALAH
Sudah menjadi lumrah duniawi setiap menusia mengalami pertumbuhan dan perkembangan sehingga ke peringkat matang. Perkembangan manusia merujuk perubahan dari aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Hampir semua perkembangan tersebut berkaitan dengan faktor baka dan persekitaran.

Sepertimana yang telah dijelaskan dalam pengenalan, tingkah laku bermasalah diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu tingkah laku bermasalah positif dan negatif. Tingkah laku bermasalah positif dalam aspek proses pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada perlakuan pelajar yang ingin tahu secara keterlaluan, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif turut berlaku atau di sekolah dipanggil hiperaktif positif. Walaupun secara umumnya perlakuan tersebut dilihat adalah sangat baik dan positif dari segi pembelajaran seorang murid, namun sebaliknya ia mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlaku.

Tingkah laku bermasalah negatif pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan. Tingkah laku distruktif sering berlaku di kalangan murid yang berusia 10 hingga 15 tahun. Sikap agresif mereka sering ditunjukkan dalam bentuk tingkah laku merosakkan sama ada melalui sindiran atau melalui perbuatan fizikal seperti tumbuk-menumbuk, bergaduh, melukai atau menyakiti seseorang yang lain. Tingkah laku merosakkan ini mungkin melibatkan permusuhan nyata, vandalisme dan klik. Tindakan agresif kepada pihak lawan akan ditunjukkan akibat rasa tidak puas hati, benci, marah atau dendam. Tingkahlaku distruktif sebenarnya dipelajari sama ada melalui masyarakat, ibu bapa mahupun televisyen.

3.1 Tingkah Laku Disruptif
Tingkah laku masalah distruptif didefinisikan sebagai sebarang tigkah laku yang dapat menjejaskan kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran. Seorang murid yang distruptif ialah seorang yang dapat menarik perhatian guru dan mengelak guru tersebut daripada memberikan perhatian kepada murid-murid yang lain di dalam bilik darjah. Tingkah laku distruptif ditunjukkan apabila seorang murid tidak bekerjasama dengan guru dan mengelak dirinya daripada murid-murid yang lain.

Di sekolah yang sering berlaku pergaduhan kecil sesama mereka disebabkan oleh perkara yang remeh. Walaupun, dilihat sebagai pergaduhan kecil yang melibatkan kanak-kanak namun ianya akan memberi kesan yang buruk kelak. Tingkah laku masalah ini dicatat di dalam buku disiplin sekolah. Tindakan akan diambil adalah berbentuk amaran untuk pertama kali dan kedua kali dilakukan. Apabila ianya kerap dilakukan maka murid itu akan diambil tindakan berjumpa dengan waris sebelum sekolah mengambil tindakan susulan. Terdapat buku peraturan sekolah dan tindakan yang akan diambil termasuk merotan mengikut undang-undang yang ditetapkan sekolah dengan perserujuan ibubapa dan Jabatan Pendidikan.

Murid yang mempunyai tingkah laku disruptif pula sentiasa menganggu dan menjejaskan kelicinan perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, tingkah laku menganggu ini juga berlaku di luar bilik darjah sama ada sesama adik beradik mahupun rakan sebaya. membuat bising iaitu tingkah laku yang mengganggu atau disruptif. Kebiasaan masalah ini wujud apabila keadaan murid berasa tidak kondusif ketika mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Boleh dikatakan kebanyakkan mereka akan membuat bising sama ada ketiadaan guru atau sebaliknya. Mereka akan bercakap sesama mereka, menjerit, mengganggu rakan sekelas dan sebagainya. Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan orang lain dan ia merangkumi tingkah laku seperti:
  •  Hiperaktif: kelakuan atau bertingkah laku yang tersangat agresif
  •  Kelakuan nakal: suka menggangu kawan-kawan, bergaduh, membuli atau menyakat kawan-kawan   sekelas.
  •  Bising: menganggu ketenteraman bilik darjah, banyak bercakap
  •  Bergerak sesuka hati: suka keluar masuk kelas tanpa kebenaran, berjalan-jalan di dalam kelas semasa sesi pembelajaran berlaku, melakukan aktiviti yang disukai bila-bila masa.
  • Ketawa kuat: ketawa dengan suara yang nyaring dan kuat tanpa menghiraukan orang yang berada di sekelilingnya
  • Agresif secara lisan / fizikal: menggunakan kata-kata kasar, lucah, kurang ajar, tidak sopan
Contoh murid bertingkah laku disruptif : bergaduh

            Mengikut Despert ( 1965 ), kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi ‘ neurotic ‘ atau ‘psychotic’ dapat dikenali melalui gaya kelakuannya yang jahat, selalu membuat salah, melawan, ingkar, tidak dapat dibentuk dan tidak stabil. Hal ini juga disebabkan kurangnya guru mengendalikan murid-murid tersebut seperti tidak mempelbagaikan kaedah penyampaian mengajar, guru menghadirkan diri ke mesyuarat dan meninggalkan mereka tanpa pengawasan, sikap semulajadi murid-murid keperluan khas seperti hiperaktif. Kebiasaan mereka akan hilang minat untuk mengikuti pembelajaran selepas waktu rehat atau melakukan aktiviti luar seperti pendidikan jasmani.

Cara-Cara Mengatasi Tingkah Laku Disruptif
Bagi mengatasi kebisingan di dalam kelas guru mesti memainkan peranan dengan menggunakan kaedah modelling iaitu modifikasi tingkah laku melalui ubah suai luaran. Modifikasi ini merujuk kepada peniruan melalui pemerhatian tingkah laku seorang model yang disanjung dan secara tidak langsung mengubah tingkah lakunya.


Guru menjadi model yang disanjung
Teori ini telah diperkenalkan oleh Bandura yang menjelaskan pelbagai tingkah laku sosial yang dipelajari oleh kanak-kanak. Jenis-jenis tingkah laku desruptif termasuk hiperaktif, terlalu membuat bising, pergerakan melampau, menganggu rakan sebaya, gelak terbahak-bahak serta menunjukkan keagresifan fizikal seperti tolak-menolak. Biasanya, tingkah laku ini dialami oleh pelajar lelaki berusia 10 hingga 11 tahun. Selalunya tingkah laku desruptif akan menjadi punca terjadinya tingkah laku destruktif jika emosi tidak terkawal dan melibatkan aspek balas dendam, tidak puas hati dan sebagainya.

Pemerhatian yang telah dibuat dalam sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung, memang didapati masalah ini banyak berlaku terutamanya di kelas-kelas hujung dalam sesuatu darjah. Kebiasaannya golongan murid ini memang gemar mengganggu pelajar lain dengan membuat bising atau melakukan perlakuan agresif dari segi perilaku dan lisan terutamanya apabila mereka tidak dapat memahami sesuatu tugasan yang diberi. Murid yang tingkahlaku bermasalah hiperaktif merupakan murid yang tidak dapat mengawal diri sendiri dan sentiasa melakukan sesuatu aktiviti yang akan menganggu murid lain.

Malah murid ini juga boleh membahayakan dirinya sendiri dan juga murid yang lain. Sebagai contoh yang berlaku di sekolah, murid hiperaktif ini memanjat pagar tingkap, kemungkinan murid itu jatuh dan tercedera atau pagar itu jatuh terkena pada murid lain yang boleh menyebabkan kecederaan. Murid ini akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dengan bertindak luar dari kawalan seperti berlari di dalam kelas, membuat bising dan menganggu murid lain. Murid menjadi hiperaktif adalah disebabkan oleh kurang berdisiplin ketika dirumah ataupun kurang perhatian ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan tugasan kerja. Murid ini berkemungkinan mengalami tekanan dan seterusnya memberontak ketika di sekolah.

Terdapat beberapa kaedah dalam mengatasi, membendung dan mengurangkan tingkahlaku bermasalah ini daripada semakin berleluasa. Antaranya adalah dengan menggunakan kaedah memenuhi kehendak pelajar seperti memahami keperluan pelajar tersebut. Apabila kehendaknya dituruti barulah lama kelamaan murid tersebut dapat memberi perhatian dalam kelas. Kaedah ini juga boleh dilaksanakan kepada murid keperluan khas Cuma pendekatannya sahaja yang berbeza berbeza. Contohnya bagi guru harus mengikut aktiviti pelajar itu seperti berlari tetapi semasa berlari pengisian pembelajaran harus ada umpamanya berlari sambil mengira. Ini boleh menimbulkan minat untuk murid itu belajar.

3.2 Tingkah Laku Distruktif
Tingkah laku distruktif juga dikenali sebagai tingkah laku merosakkan. Ia biasa berlaku di kalangan murid-murid yang berumur 10 hingga 14 tahun. Tingkah laku ini merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan diri, sekolah dan masyarakat. Kanak- kanak yang sentiasa menunjukkan tingkah laku distruktif akan menunjukkan kelakuan dan perbuatan seperti:
  •  Permusuhan nyata: suka bergaduh, berlawan, bertumbuk, mencari pasal dengan mana-mana murid terutama rakan sebaya.
  •  Vandalisme: suka merosakkan harta benda awam seperti menconteng dinding menggunakan pen, pensil, marker atau tapak kaki, mematahkan alat pengepam tandas, memecahkan kerusi atau meja di dalam bilik darjah, menggores atau menconteng meja.
  •  Kumpulan liar: terlibat dengan kumpulan tidak bermoral
  •  Klik: mempunyai hubungan dengan beberapa orang yang  mempunyai perangai atau tabiat yang sama tetapi lebih kepada tingkah laku tidak baik
  • Geng: menubuhkan kumpulan tertentu di dalam sekolah, kumpulan yang ditakuti atau digeruni oleh murid-murid lain, bertindak membuli atau menakut-nakutkan murid-murid lain.
Tingkah laku distruktif antaranya vandalisme di sekolah
Kumpulan liar, klik dan geng
Video pelajar perempuan bergaduh

            Tingkah laku anti-sosial lebih menjurus kepada masalah tingkah laku berbentuk jenayah. Di dalam sebuah sekolah, ia lebih difokuskan kepada masalah disiplin. Tingkah laku murid sebegini harus diberi perhatian khusus oleh guru-guru rendah kerana bibit-bibit jenayah pada peringkat ini jika dibiarkan akan menular dan merebak dan menjadi masalah besar pada peringkat akan datang. Menurut Duke (1980) menyatakan bahawa setiap individu bertanggungjawab terhadap perlakuannya sendiri. Murid-murid berkemungkinan menjadi tidak berdisiplin kerana mengikut kehendak-kehendak diri mereka sendiri tanpa sebarang pengaruh dari luar, iaitu apa yang dikatakannya sebagai “ the potential influence of student’s free will ”.

            Terdapat dua sebab utama yang mempengaruhi tingkah laku distruktif iaitu konsep kendiri dan kawalan kendiri yang rendah. Pendapat Freud ialah kanak-kanak yang mempunyai sifat agresif telah mempelajarinya daripada ibu bapa, masyarakat atau televisyen (mencontohi / memodel watak). Justeru itu, guru-guru mempunyai cabaran untuk memahami dan respon kepada keperluan murid-murid sedemikian sementara memastikan murid lain berada dalam keadaan selamat dan terus proaktif.

Cara-Cara Mengatasi Tingkah Laku Distruktif
Kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku distruktif memerlukan satu persekitaran pembelajaran yang berstruktur. Struktur ini harus termaktub dalam rutin harian murid-murid yang dimodifikasikan sejajar dengan perubahan dalam tingkah laku bermasalah mereka. Guru-guru harus menetapkan peraturan-peraturan yang diperlukan sebagai satu bahagian rancangan yang berstruktur. Ia bagi memastikan bahawa semua peraturan adalah berguna dan mempunyai matlamat yang spesifik. Semua peraturan ini perlu dilafazkan dan diperkukuhkan.

            Faktor yang menyebabkan tingkah laku bermasalah distruktif adalah kekurangan konsep kendiri, pergelutan kuasa dan dendam. Oleh itu, guru perlu menunjukkan persekitaran cinta aktif kerana ia akan dapat menolong menghapus dan memperbaiki kekurangan yang disebabkan oleh tingkah laku distruktif. Dalam mengendalikan murid-murid sebegini, aspek-aspek berikut perlu dititikberatkan oleh seorang guru iaitu seperti:
·         Guru tidak boleh selalu marah dan mest sentiasa bersabar;
·         Guru perlu membuat aksi daripada menunjukkan reaksi kepada murid;
·       Guru mesti sensitif dalam menstabilkan keadaan dan mendiamkan murid-murid yang menunjukkan tingkah laku bermasalah;
·         Guru tidak boleh membuat ugutan semasa murid-murid marah;
·    Guru perlu menangani tingkah laku bermasalah daripada mengelakkannya. Strategi yang paling penting ialah bercakap dengan anak murid dengan memfokuskan kepada tingkah laku positif.
·   Guru mesti melibatkan diri dalam kumpulan sokongan yang mungkin wujud melalui pelbagai program rawatan.
·   Guru juga mesti dilatih dalam pengurusan stres dan motivasi untuk mengendalikan kanak-kanak distruktif.

Guru perlu bijak mengurus stres/tekanan

Guru-guru mesti mengambil iktibar daripada pencapain kecil yang ditunjukkan oleh murid dalam mengawal atau menghapuskan tingkah laku distruktif. Tujuan disiplin ialah untuk mengarah murid-murid supaya memupuk semangat berdikari dan menjadi individu yang boleh berfungsi dalam cara yang boleh diterima dalam masyarakat.

3.3 Penggantungan Lebihan
Tingkah laku penggantungan lebihan merujuk kepada murid-murid yang mempunyai masalah untuk berdikari, selalu bimbang dan selalu menarik diri daripada aktiviti-aktiviti akademik dan ko-kurikulum. Penggantungan lebihan juga merujuk kepada tingkah laku bermasalah dimana seseorang individu berharap kepada orang lain untuk membuat kerjanya serta menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dan cirri lain penggantungan lebihan adalah seperti berikut:
  •  Kebimbangan: sentiasa berasa takut, menunjukkan reaksi bimbang, tiada keyakinan diri.
  •  Pergantungan lebihan: terlalu mengharapkan pertolongan atau bantuan dari orang lain terutama ibu bapa atau orang yang rapat dengannya, terlalu manja, tidak boleh berdikari.
  •  Pengunduran diri: malu untuk menunjukkan kebolehan, teragak-agak memberi pendapat atau idea, tidak yakin pada kebolehan diri, sering menggangap orang lebih baik dari dirinya
  • Pengasingan diri: tidak suka bergaul atau berkomunikasi dengan kawan-kawan, sikap rendah diri yang terlalu tinggi, perasaan malu pada kawan-kawan
Murid sentiasa mengasingkan diri 

Tingkah laku pergantungan berlebihan ini kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur sepuluh tahun ke bawah. Namun, ianya juga mungkin akan berlarutan hingga remaja. Pada suatu ketika, apabila orang yang diharapkan tiada, individu ini akan berasa cemas, takut, bimbang, tertekan dan tidak tahu apa yang dilakukannya. Individu sebegini juga merupakan individu yang pendiam, tidak aktif, rendah diri, selalu mengalami kebimbangan dan tekanan. Di antara punca berlaku tingkah laku pergantungan berlebihan ialah akibat ibu bapa yang mengamalkan perlindungan terlampau, suasana rumah tangga yang tegang, autokratik dan tidak mempercayai kanak-kanak.

Kebimbangan berkait rapat dengan emosi ketakutan. Walaupun kebimbangan adalah suatu keadaan emosi yang berlaku di peringkat dalaman murid namun ianya juga merupakan salah satu daripada jenis tingkah laku bermasalah yang kurang ditonjolkan permasalahannya. Seseorang yang sentiasa bimbang akan sentiasa cemas atau ‘phobia’ menghadapi sesuatu cabaran. Kebimbangan adalah fenomena yang akan menyebabkan kanak-kanak mempunyai personaliti dan kendiri yang negatif. Individu sebegini akan menghadapi kesusahan dalam perhubungan dengan orang lain. Antara sebab terjadi tingkah laku kebimbangan ialah percanggahan motif, konflik diri antara tingkah laku dan nilai sebenarnya, penyesuaian diri dalam menghadapi suatu keadaan yang baru, menghadapi suatu keadaan yang sukar diramal dan kehilangan tempat bergantung.

Pengunduran diri merupakan penarikan diri daripada suatu situasi kurang selamat atau mengancam. Tingkah laku ini merupakan mekanisme helah bela diri. Pada kebiasaannya, ianya berkaitan dengan pengalaman pahit pada
masa lampau. Kanak-kanak yang pernah gagal dalam sesuatu usaha akan mengambil keputusan untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang tugas yang ada kaitannya dengan pengalaman awalnya. Tingkah laku pengunduran diri ini jika dibiarkan akan menyebabkan pembentukan konsep diri yang rendah, tidak yakin untuk berinteraksi, dan terjejasnya perkembangan sosial, emosi dan intelek serta kurang berupaya untuk menyelesaikan masalah.

Pengasingan diri merupakan tingkah laku yang cuba menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga merupakan sejenis mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.Masalah ini turut berlaku di sekolah yang saya menjalaini PBS. Sesetengah murid enggan melibatkan diri dalam aktiviti atau sesi perbincangan yang diadakan di sesebuah bilik darjah apabila murid merasakan dirinya tidak dapat mengikuti pembelajaran. Akhirnya ianya akan menyebabkan murid-murid tidak mempunyai keyakinan diri, rendah diri, pemalu, pendiam, tidak suka berkawan, tidak yakin berinteraksi dan personaliti yang tidak seimbang.

Cara-Cara Mengatasi Penggantungan Lebihan
Bagi mengatasi masalah tingkah laku ini, guru seharusnya mengabil tindakan dengan memberi tumpuan kepada murid tersebut secara individu agar murid dapat memberi perhatian. Tetapi tumpuan tersebut cuma sekejap sahaja kerana murid ini cepat bosan dan akan membuat aktivitinya sendiri. Manakala bagi murid aliran perdana guru seharusnya membincang dengan ibu bapa murid kerana ini berkemungkinan murid mengalami masalah di rumah. Selain itu, guru seharusnya mengajar apa yang diminati oleh murid kerana sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap murid ketika belajar.

            Para guru mesti membenarkan murid-murid berkongsi tanggungjawab untuk membuat kerja sendiri tanpa bantuan orang lain. Ini membantu mereka untuk menjadi manusia yang lebih berdikari dan dapat menjaga diri mereka sendiri. Guru juga mesti mengajar murid-murid untuk berkrompomi di antara keperluan dan kehendak mereka dengan kehendak orang lain. Murid-murid juga perlu menghormati kebolehan orang lain serta tidak mengkritik emosi, aksi atau fikiran orang lain. Dalam serti kata lain, murid-murid diberi pendedahan dan diajar untuk saling hormat menghormati dan mengurangkan salaing bergantungan kepada orang lain.

Murid perlu diajar supaya berkongsi tanggungjawab bersama

Murid yang mengalami simptom ini pada kebiasaanya memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Mereka juga lemah dan lambat untuk memahami setiap pelajaran yang disampaikan oleh guru serta tidak mampu menyelesaikan tugasan atau aktiviti yang diberikan guru dengan sempurna. Dalam pada itu, golongan yang pasif ini juga seringkali menjadi mangsa buli dan ditindas oleh pelajar lain kerana kekurangan yang ada dalam diri mereka. Langkah mengatasi yang telah dijalankan oleh guru untuk mengelakkan masalah ini daripada menghalang kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran ialah dengan mengasingkan pelajar ini dan menghimpunkan mereka dalam satu kelompok yang digelar sebagai pelajar pemulihan.

4.0 KESIMPULAN
Tingkah laku bermasalah ini merupakan perkara yang perlu di beri perhatian yang serius kerana bermula dengan permasalahan yang kecil sebegini jika ianya berterusan akan menjadikannya satu kebiasaan. Kemudian ianya akan dibawa hingga ke peringkat dewasa dan masalah ini tidak dapat di ubah lagi. Setiap perlakuan atau perbuatan yang terzahir adalah oleh murid-murid adalah disebabkan faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi perbuatan tersebut. Namun setiap perbuatan ini mempunyai kesan-kesan tertentu yang mana kesannya adalah kepada murid itu sendiri tetapi juga memberi kesan kepada orang lain. Tingkah laku bermasalah boleh berupa negatif atau positif. Yang pastinya tingkah laku bermasalah ini boleh membawa kesan yang tidak baik atau memudaratkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

            Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang guru mengenalpasti murid-murid yang bertingkah laku bermasalah di dalam kelasnya agar strategi atau teknik tertentu dapat digunapakai bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar serta berkesan. Oleh itu cara-cara untuk mengatasi tingkah laku bermasalah ini hendaklah bersesuaian dengan tingkah laku bermasalah tersebut. Cara-cara mengatasinya adalah berbeza bergantung kepada masalah-masalah yang dihadapi. Terdapat pelbagai teknik-teknik dan penyelesaian yang berkesan yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Teknik-teknik modifikasi yang boleh dipraktikkan ini adalah untuk membantu murid mengubah tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif dan seterusnya melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Apabila tingkah laku positif dapat dibentuk, maka ini akan meningkatkan prestasi dan pencapaian serta keberkesanan aktiviti pembelajaran. 


2 comments: